Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan dokumen guna Jata Negara, tanda tangan KPN sebagai palsu

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dokumen yang memaparkan Jata Negara serta logo Badan Peguam Malaysia bersama tandatangan Ketua Polis Negara (KPN) adalah palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung dokumen berupa amaran bertajuk ‘Kebenaran’ yang didakwa dikeluarkan oleh sebuah pejabat tertentu pada Selasa lalu.

“Dokumen berkenaan turut memaparkan Jata Negara serta logo Badan Peguam Malaysia dan ditandatangani oleh penama yang hampir sama dengan KPN namun menggunakan jawatan berbeza.

“(Bagaimanapun) semua perkara yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan merangkumi maklumat prosiding jenayah, jabatan yang digunakan serta nama penandatangan adalah palsu dan dokumen sedemikian tidak dikeluarkan oleh mana-mana jabatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

PDRM turut mengingatkan orang ramai yang menerima dokumen serupa melalui e-mel, mesej WhatsApp, atau mana-mana saluran agar tidak memberikan sebarang respon kepada pihak yang menghantarnya.

“Mana-mana individu yang mungkin sudah menjadi mangsa akibat mempercayai kandungan dokumen berkenaan supaya tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini