Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan ada unsur penipuan dalam pakej umrah RM2.1 juta

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM: Polis mengesahkan terdapat unsur penipuan berhubung kes sebuah syarikat pelancongan yang didakwa gagal menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke tanah suci, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemilik syarikat yang juga pasangan suami isteri itu juga dikesan mempunyai rekod lampau membabitkan kes penipuan berkaitan pelaburan di Johor tahun lalu, yang mana ia masih dalam siasatan.

“Kita dapati memang ada unsur penipuan (dalam pakej umrah) kerana dari segi proses permohonan visa, tempahan penerbangan dan penginapan di Arab Saudi dan sebagainya tidak dibuat melalui proses yang betul seperti kebiasaannya dilakukan pengusaha syarikat seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media kejayaan tangkapan dan rampasan dadah di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini, hari ini.

Hussein berkata, reman pasangan suami isteri terbabit tamat hari ini dan mereka diserahkan kepada polis Johor untuk siasatan lanjut manakala enam lagi yang direman sebelum ini diberikan jaminan polis.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat terbabit direman selama tiga hari berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah membabitkan kerugian RM2.1 juta.

Semalam, seramai tujuh individu yang ditahan berkaitan penipuan umrah disambung reman selama sehari lagi termasuk pemilik syarikat pelancongan itu.

Menurutnya, polis menerima 42 laporan membabitkan mangsa, ejen dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Katanya, polis sedang dalam proses memanggil saksi dan mangsa untuk membantu siasatan sebelum tindakan diambil.

“Kita juga dapati mereka menggunakan ejen-ejen, sebab itu kes ini turut melibatkan negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Johor,” katanya.

Siasatan awal mendapati syarikat terbabit mula menjalankan perniagaan pada 2022 dan beroperasi di Sepang sejak Oktober tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini