Tumpuan :
Nasional

Polis rujuk kes lelaki jual 47 pistol tiruan ke TPR

Yahaya Othman pada sidang media selepas sesi Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Januari Tahun 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Pahang di Kuantan. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Kes seorang lelaki yang ditahan kerana menjual 47 pucuk senjata api tiruan di sebuah rumah di daerah ini pada 2 Januari lalu, sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 35 tahun itu yang ditahan reman seminggu untuk siasatan dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, berdasarkan laporan, suspek ditahan di rumahnya susulan maklumat lelaki itu menjual senjata secara dalam talian.

“Hasil maklumat itu, suspek yang juga peniaga ditahan dan kita merampas 47 pucuk senjata api.

“Siasatan juga mendapati lelaki ini tiada rekod jenayah dan kes dirujuk kepada TPR untuk arahan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya pada sidang media selepas Program Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Yahaya berkata, senjata api tiruan dipercayai diimport itu menyerupai senjata api yang asli.

“Senjata terbabit lebih kepada mainan tetapi bentuknya macam senjata api asli,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini