Oleh Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Polis mengesan tindakan mengubahsuai motosikal dengan membuang brek belakang yang mula menjadi trend ibarat basikal lajak.
Menerusi operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, JSPT Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu sebanyak 82 motosikal yang diperiksa didapati diubah suai seumpama itu lalu disita.
Dalam operasi jam 1 pagi itu, polis menumpukan kawasan sekitar Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Sultan Azlan Shah.
Ketua Trafik JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh memaklumkan, operasi dengan kekuatan 107 pegawai dan anggota memeriksa 916 buah motosikal.
“Kita mengesan satu trend yang mana banyak motosikal tidak menggunakan brek belakang, selalunya ekzos tapi yang ini sebanyak 82 motor kita tahan dan sita, serta hari ini kita bawa untuk pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Mereka buang brek untuk jadikan motor lebih ringan supaya beri lebih impak kepada kelajuan, kelajuan tu lebih maksimum, jadi mereka tanggalkan brek belakang ini sebab kononnya berat, jadi mereka boleh bergerak lebih pantas,” katanya pada sidang media di Balai Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun H.S.Lee, pagi tadi.
Ujarnya lagi, kebanyakan mereka membuat pengubahsuaian sendiri dan ada juga yang sanggup membayar upah sekitar RM50 hingga RM100 untuk membuang brek belakang.
JSPT memandang serius trend berkenaan kerana bukan sahaja membahayakan penunggang itu sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.