
Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (PPM W2) berjaya merampas minyak sawit dan barangan e-waste dianggarkan bernilai lebih RM43 juta dalam dua serbuan berasingan di Pasir Gudang dan Kulai.
Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan pegawai PPM dan pegawai MPOB telah menyerbu sebuah premis di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, jam 3 petang, pada Isnin lalu.
“Pelbagai peralatan berjaya dirampas termasuk enam buah tangki, dua tangki besi, 30 tong drum, satu set boiler, dua buah lori, tujuh enjin pump minyak, 11,200 liter minyak sawit terpakai, 35 tan palm oil mil effluent, sebuah lori tangki, satu unit pam elektrik berserta hose, satu pam compressor dan satu unit mesin memproses biodiesel.
Katanya, kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.64 juta.
“Hasil siasatan awal mendapati premis terbabit telah beroperasi sebagai stor penyimpanan, memproses dan pemindahan minyak sawit tanpa lesen.
Turut diberkas seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat dibawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksima RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam serbuan kedua bersama pegawai Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran Kulai, di sebuah premis menyimpan barang-barang berjadual e-waste di Kampung Baru Sengkang, Kulai jam 8.15 pagi semalam, 15 individu ditahan termasuk seorang wanita warga Indonesia berumur 20 hingga 49 tahun atas pelbagai kesalahan.
Turut dirampas pelbagai barangan e-waste dianggarkan bernilai lebih RM41.41 juta.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18(1), 34A, 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 dan Peraturan 5 dan 21, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.