comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis rampas aset berkait 1MDB RM93.2 juta

Aset berkaitan 1MDB yang dirampas termasuklah jam tangan dan beg tangan pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM93.2 juta.

KUALA LUMPUR: Polis telah merampas aset berkaitan 1MDB berjumlah sekurang-kurangnya RM93.2 juta, yang diperoleh atas nama Jasmine Loo.

Aset yang merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai semasa pembelian dibuat pada 2013.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri berkata semua rampasan ini diperoleh hasil pendedahan Jasmine ketika memberikan keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

“Semua aset ini membabitkan pembelian hartanah dan barangan mewah di New York, London dan Singapura serta pelaburan di Amerika Syarikat yang semuanya didaftar atas nama Jasmine.

“Selain kediaman mewah ini, terdapat juga sembilan lukisan mewah termasuk dua daripadanya lukisan Pablo Picasso,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Ayob berkata, dengan pendedahan dibuat Jasmine juga, polis melakukan pemeriksaan di satu unit kondominium di Bukit Damansara, di sini, dan menyita barangan berharga RM625,000.

“Sitaan itu membabitkan masing-masing seutas jam tangan jenama Richard Mille dan jam tangan Harry Winston, 13 beg tangan pelbagai jenama, seutas gelang tangan dan pelbagai dokumen berkaitan.

“Semua aset yang dirampas kini berada dalam simpanan JSJK,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di luar negara terutama di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura dalam proses mendapatkan semula semua aset yang didedahkan Jasmine.

“Untuk mendapatkan semula semua aset ini, ia dijangka mengambil masa panjang kerana melalui proses melucutkan hak milik, selain kerjasama dengan pihak berkenaan di luar negara.

“Jasmine selepas ini akan diserahkan kepada agensi lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan.

“Sebarang tindakan undang-undang terhadap Jasmine bakal diputuskan kelak sejurus selepas semua agensi penguat kuasa selesai menjalankan siasatan terhadapnya,” katanya.

Loading...
Terkini