comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis rampas 70kg ganja, senjata api di sempadan tanah air

Oleh: Kumaran Rajamoney

KANGAR: Polis merampas 70 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM217,000 dan menahan empat lelaki tempatan yang disyaki aktif terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah di sempadan tanah air.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata penahanan itu dilakukan selepas pihak PGA Batalion 3 yang sedang menjalankan rondaan pada 26 Oktober lalu menemui satu plastik hitam yang ditinggalkan di atas motosikal di sebuah kebun getah berdekatan Padang Besar.

“Motosikal itu ditinggalkan seorang lelaki selepas menyedari kehadiran pasukan rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di situ.”

“Pemeriksaan di dalam plastik itu menemukan dua guni putih yang didalamnya masing-masing menempatkan 32 dan 38 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja. Anggaran keseluruhan berat dadah ini adalah 70 kilogram (kg),” katanya.

Pemeriksaan di dalam bungkusan guni tersebut juga menjumpai sepucuk senjatapi dan satu kotak berisi 50 butir peluru 9MM.

Tiga suspek yang disyaki ditahan reman selama 6 hari bermula 27 Oktober manakala seorang lagi direman bermula 31 Oktober sehingga 6 November.

“Semakan mendapati suspek pertama tiada rekod jenayah manakala tiga suspek lain mempunyai beberapa rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.

“Ujian saringan air kencing menunjukkan suspek pertama dan keempat negatif, manakala suspek kedua dan ketiga positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Nilai rampasan dadah dianggarkan bernilai RM217,000 dan boleh digunakan oleh 700,000 pengguna dadah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

Loading...
Terkini