Tumpuan :
Nasional

Polis rampas 600 kg gula seludup di Kelantan 

Foto hiasan

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan 600 kilogram (kg) gula yang dianggarkan bernilai RM18,680 dekat Kampung Pulau Ular, Tumpat semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan dilakukan pada 9 pagi selepas anggota Batalion 9 (PGA9) yang menjalankan rondaan Op Taring Wawasan terserempak dengan seorang lelaki yang memandu sebuah Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata suspek yang bimbang ditahan telah memberhentikan kereta di tepi jalan dan melarikan diri ke dalam semak.

“Pemeriksaan di dalam kereta menemukan timbunan bungkusan berisi 600 peket gula dipercayai untuk diseludup ke Thailand dan kesemua barangan diserahkan kepada pihak berwajib bagi tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata Batalion 7 (PGA7) turut merampas sejumlah arak bernilai RM1,440 di sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang, Pasir Mas pada 1 tengah hari semalam.

Beliau berkata kejadian itu disedari selepas anggota bertugas ternampak beberapa lelaki sedang memunggah kotak di tebing Sungai Golok.

“Menyedari kehadiran anggota PGA7, kesemua lelaki itu segera melarikan diri ke arah Thailand dan pemeriksaan di kawasan itu menemukan enam kotak berisi minuman keras disyaki diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983 manakala kesemua rampasan diserahkan ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata pihaknya akan terus mempergiat lagi usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara menerusi Op Taring Wawasan Kelantan dan akan menahan mana-mana individu yang terlibat.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini