comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis rakam percakapan dua beradik dipercayai mangsa dera ibu dan teman lelaki

Foto: NSTP

MUAR: Polis telah merakamkan percakapan dua beradik yang disyaki menjadi mangsa dera ibu kandung dan teman lelaki, di sebuah rumah di Jalan Meriam, di sini September lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Azman Aziz, berkata rakaman percakapan mangsa masing-masing berusia lima dan enam tahun itu untuk melengkapkan siasatan sebelum kertas pendakwaan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita masih menjalankan siasatan termasuk merakam percakapan kedua-dua mangsa untuk melengkapkan siasatan.

“Buat masa ini, kedua-dua mangsa masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini di bawah jagaan bapa kandung selepas lebam di badan, pinggul dan juga betis,” katanya.

Khamis lalu, ibu kandung dan teman lelakinya masing-masing berusia 36 dan 38 tahun ditahan susulan laporan polis dibuat bapa kandung yang mendakwa dua anak perempuannya didera menggunakan rotan.

Kejadian berlaku antara 16 hingga 26 September lalu disyaki didalangi ibu mangsa dan teman lelakinya di sebuah rumah di Jalan Meriam, di sini.

Kedua-dua suspek ditahan selepas sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar bergegas ke rumah pasangan itu pada jam 2.30 petang, 29 September lalu.

Raiz Mukhliz berkata, suspek lelaki adalah warga tempatan manakala ibu mangsa bukan warganegara.

“Kedua-dua suspek sudah direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Loading...
Terkini