Tumpuan :
Nasional

Polis rakam keterangan guru didakwa dera kanak-kanak lelaki

IPOH: Polis sudah merakam keterangan guru wanita yang didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di sebuah prasekolah di Jelapang, di sini, sebanyak tiga kali.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, guru berusia lewat 30-an itu dipanggil susulan laporan dibuat ibu mangsa pada 8 dan 14 Disember tahun lalu serta 16 Januari berhubung kecederaan dialami anaknya.

Pengadu yang berusia 41 tahun menyatakan terdapat kesan biru pada tapak tangan anaknya, didakwa akibat dipukul guru terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada kedua-dua tapak tangan tanpa lebam.

“Selain guru wanita itu, polis turut memanggil guru kelas lain bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pendakwa Raya Negeri Perak untuk arahan lanjut.

Hari ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa anaknya yang berusia enam tahun mengalami trauma akibat didera seorang guru wanita di sebuah prasekolah di Jelapang, sejak September tahun lalu.

Ibu tunggal itu mendakwa guru terbabit memukul kepala, merotan, mencubit telinga dan pernah menampar pipi anak lelakinya sehingga meninggalkan kesan lebam teruk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini