comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis, petugas SPR, berkumpul di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul

Anggota PDRM membuat persiapan sempena hari penamaan calon PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Pelangai. -Foto: NSTP

BENTONG: Anggota polis, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengamal media mula berkumpul di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, Pelangai sebelum Proses Penamaan Calon PRK Pelangai, hari ini.

Pusat penamaan calon akan dibuka pada jam 9 pagi dan semua calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi ini untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus pusat penamaan calon sebelum diisytiharkan layak bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.

Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 6 Oktober ini.

Rabu lalu, Barisan Nasional (BN) menamakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong Datuk Amizar Abu Adam, 50, sebagai calon bertanding di kerusi DUN itu manakala Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Kasim Samat, 62, bakal mewakili Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang yang juga dikatakan ahli UMNO Kampung Sum Sum, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, dijangka turut bertanding pada PRK tersebut.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Nazian Zainal Abidin, keadaan cuaca di Pelangai diramal cerah pada sebelah pagi. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini