Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
PUTRAJAYA: Anggota polis yang dinaikkan pangkat diwajibkan mengekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) antara 28 hingga 30.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu sebagai syarat pengesahan kenaikan pangkat anggota.
Katanya, syarat tersebut akan menjadi sebahagian daripada proses pengesahan bagi memastikan kecergasan dan disiplin kekal terpelihara dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis, saya memahami latar belakang isu kecergasan dalam pasukan polis, agensi penguatkuasa undang-undang terbesar di negara ini.
“Kecergasan fizikal bukan hanya cerminan kekuatan, tetapi juga bukti kepada disiplin yang diperlukan oleh setiap pegawai” ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika sidang media selepas meninjau persiapan penganjuran AiSSE 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Hussain, memaklumkan anggota polis perlu mengekalkan BMI kurang daripada 28 untuk melayakkan diri mendapat kenaikan pangkat.
Menurutnya, syarat tersebut merupakan antara kriteria tambahan yang diperkenalkan untuk memastikan proses kenaikan pangkat dalam PDRM lebih ketat dan berkualiti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.