Tumpuan :
Nasional

Polis percaya wujud kegiatan jualan dadah di konsert Pinkfish

Siasatan polis mendapati ada individu yang bertindak menjual dadah di dalam konsert terbabit.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SHAH ALAM: Polis tidak menolak kemungkinan wujud aktiviti penjualan dadah ketika penganjuran konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway, Subang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati ada individu yang bertindak menjual dadah di dalam konsert terbabit.

“Siasatan mendapati ada individu yang guna pil ekstasi dan juga minum alkohol. Ada yang dapatkan dari luar (dadah) dan ada juga yang beli dalam premis tersebut. Jadi kita tak nafikan ada individu yang berlegar di situ untuk jual pil ekstasi.

“Maklumat yang kita terima, satu pil dijual RM50..selalu dia jual pakej tiga pil RM100. Ini semua masih dalam siasatan polis untuk kenal pasti mereka yang terlibat dalam penjualan dadah ketika konsert itu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IP) Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Hussein turut menyatakan kegagalan pihak penganjur dalam mengawal aktiviti konsert sehingga berlakunya kegiatan menjual dadah.

Meskipun wujud aspek penguatkuasaan, kawalan pihak polis hanya melibatkan keselamatan di luar premis.

“Mereka gunakan khidmat polis bantuan dan pengawal keselamatan mereka sendiri. Pihak polis hadir tetapi lebih kepada menjaga keselamatan di luar.

“Di dalam premis adalah tanggungjawab penganjur untuk tentukan keselamatan pengunjung dan lain-lain perkara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan empat individu yang mengunjungi konsert berkenaan maut selepas dipercayai mengambil pil dadah jenis ekstasi.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan toksikologi untuk mengenal pasti punca sebenar kematian

Loading...
Terkini