PASIR MAS: Polis Daerah Pasir Mas membantu menghantar tujuh pesakit yang memerlukan rawatan segera ke Hospital Pasir Mas dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata mereka terdiri daripada pesakit yang memerlukan rawatan sawan, dialisis dan ibu mengandung atau ibu yang mengalami masalah kesihatan serta temu janji doktor.
Katanya, penghantaran dijalankan dengan lori oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dengan dibantu kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mereka adalah mangsa banjir yang tidak dapat pergi ke hospital selepas kediaman dan jalan keluar masuk dinaiki air.
“Selain itu, kita menghantar jenazah kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan yang juga mangsa lemas pertama di Pasir Mas ke Lubok Gong, Rantau Panjang.
“Bantuan penghantaran jenazah dilakukan dengan menggunakan bot Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, jumlah mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu juga semakin meningkat.
“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas menerima lebih 50 panggilan telefon daripada mangsa yang ingin berpindah dan lebih 105 orang dipindahkan ke PPS berhampiran dengan kerjasama pasukan penyelamat yang terdiri daripada pelbagai agensi.
“Malah, kekuatan kumpulan penyelamat juga bertambah menjadi 18 pegawai, 127 anggota untuk membantu memindahkan mangsa banjir.
“Antara aset yang digunakan bagi memudahkan proses menyelamat adalah 17 bot, 12 lori, sebuah van, enam pacuan empat roda dan sebuah ambulans bagi kecemasan,” katanya.
Maklumat lanjut, hubungi Bilik Gerakan IPD Pasir Mas di talian 09-7932222.