KUANTAN: Seorang anggota polis cedera parah akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas selepas melanggar lopak air di Kilometer 234.7 arah timur, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) dekat Gambang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa yang juga anggota unit peronda (EMPV) Bukit Aman bersama rakan setugas sedang melakukan kawalan trafik di lokasi kejadian.
Akibat kejadian itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki dan muka, manakala seorang lagi anggota berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua mangsa berada di luar kenderaan membuat kawalan kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan terbabas sendiri di lokasi kejadian.
“Ketika mereka membuat kawalan, tiba-tiba datang sebuah kenderaan dari arah sama, melanggar lopak air di lorong kanan lalu terbabas melanggar mangsa dan kenderaan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa kemudian dibawa oleh ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini dan dirawat di zon merah.
“Keadaan mangsa stabil dan ujian x-ray mengesahkan kaki sebelah kanan patah dan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) bahagian kepala pula akan dijalankan selepas tekanan darah stabil,” katanya.
Wan Zahari berkata kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.