KUALA LUMPUR: Menjelang final Piala FA 2024 malam ini, Polis Kuala Lumpur turut memantau penyokong negeri lain yang cuba mencetuskan provokasi yang mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pada masa ini pihaknya memantau sebarang elemen provokasi yang dicetuskan melalui mana-mana aplikasi laman media sosial.
“Kita menyarankan penyokong kedua-dua pasukan, penonton perlawanan bola sepak ini baik di stadium mahupun lokasi lain untuk sentiasa bersabar dan menonton dengan penuh semangat kesukanan.
“Jangan buat provokasi, tidak kira yang berada di stadium dan juga menerusi laman media sosial, pihak polis sentiasa memantau mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi,” katanya kepada BH hari ini.
Datuk Rusdi berkata, beliau turut mengingatkan mana-mana penyokong untuk tidak menimbulkan sebarang rasa tidak harmoni berhubung perlawanan itu.
“Saya tegaskan kepada semua penyokong atau penonton bukan sahaja yang menyokong pasukan JDT dan Selangor atau mungkin juga penyokong dari negeri lain yang suka menambah-nambah hingga mencetuskan kekecohan.
“Terutama yang berada di stadium malam ini saya ingatkan sekali-lagi jangan buat provokasi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak mengikuti arahan pihak berkuasa,” katanya.
Katanya, secara keseluruhan seramai 2,488 pegawai dan anggota polis diarahkan supaya mengawasi situasi sebelum, semasa, dan selepas perlawanan berlangsung.
“Kita akan mengawasi sehingga kesemua penyokong dan penonton keluar dari stadium sepenuhnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.