Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Polis menyahaktifkan objek mencurigakan yang menyerupai bahan letupan di Jalan Lebuh Sungai Pinang 7 dekat Jelutong, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad bagaimanapun berkata pemeriksaan awal mendapati bahan berkenaan bukan bahan letupan.
Polis menyahaktifkan objek mencurigakan yang menyerupai bahan letupan di Jalan Lebuh Sungai Pinang 7 dekat Jelutong, pagi tadi. pic.twitter.com/wB0Qkmcrdr
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 9, 2025
Jelasnya, pihaknya menerima panggilan lebih kurang jam 9.50 pagi yang memaklumkan orang awam menemui sebuah objek mencurigakan yang menyerupai bahan letupan di tepi jalan.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dengan dibantu oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) PDRM dan pasukan siasatan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
“UPB PDRM telah berjaya menyahaktifkan objek tersebut pada jam lebih kurang 11.50 pagi.
“Hasil analisa awal mendapati objek tersebut adalah diperbuat daripada kertas, wayar dan simen, serta tidak mengandungi sebarang bahan letupan.
“Tiada kemalangan jiwa mahupun kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian ini.
“Dengan ini, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita palsu mengenai kejadian ini sehingga boleh mendatangkan kegusaran di kalangan ahli masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, tempat kejadian berkenaan telah disahkan selamat dan dibuka kepada orang awam pada jam 12.15 tengah hari.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.