Tumpuan :
Nasional

Polis nasihat warga Kelantan tangguh kunjungi Selatan Thai

Kesan letupan bom berhampiran sebuah pasar raya di daerah Bannang Sata, Wilayah Yala. – FOTO: YalaToday / Facebook

KOTA BHARU: Polis Kelantan menasihatkan penduduk di negeri itu supaya menangguhkan hasrat untuk berkunjung di Selatan Thailand sekiranya tiada urusan penting susulan insiden serangan terbaru yang berlaku di Sungai Golok, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, bagi mereka yang masih perlu meneruskan kunjungan ke wilayah berkenaan diminta lebih berhati-hati.

“Sebelum ini saya sudah menasihatkan perkara sama supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah (Selatan) Thailand kerana keadaan masih panas dengan kejadian letupan bom sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat. -FOTO: NSTP

“Namun ramai yang marahkan saya bila menasihatkan perkara itu dan kejadian terbaru membabitkan letupan dan tembakan berlaku di Sungai Golok.

“Jadi saya menasihatkan perkara sama memandangkan ramai juga penduduk Kelantan pergi ke Selatan Thailand termasuk di pekan Golok untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan.

“Saya tidak boleh halang mereka dari berkunjung ke sana cuma menasihatkan kerana banyak letupan bom sejak kebelakangan ini. Mereka yang pergi diminta lebih berhati-hati,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, dua sukarelawan pertahanan Thailand maut manakala lapan lagi cedera dalam serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok, malam tadi.

Serangan bom malam tadi di bandar Sungai Golok yang membunuh dua sukarelawan polis dan mencederakan 12 yang lain. FOTO: Ihsan polis Thailand

Serangan berlaku jam 7.10 malam waktu tempatan (8.20 malam waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah itu berbuka puasa.

Jurucakap polis Sungai Golok berkata insiden berlaku di sepanjang jalan Sungai Golok-Sungai Padi, berhampiran pasar raya Big C yang sering dikunjungi rakyat Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini