comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis mulakan siasatan kes buli penuntut UPNM, mangsa buat laporan malam tadi

UPNM

KUALA LUMPUR: Polis memulakan siasatan terhadap kes buli dan dera membabitkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh seorang penuntut senior.

Siasatan itu dilakukan selepas satu laporan diterima yang dibuat oleh mangsa berusia 20 tahun, 8.23 malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, kejadian dikatakan berlaku pada 22 Oktober lalu pada 11.45 malam di bilik asrama UPNM.

“Pada hari kejadian, pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya.

“Secara tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu mengambil seterika dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanan (mangsa) sebanyak satu kali,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, susulan itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menyebabkan pengadu terkejut dan menjerit.

“Ketika kejadian, terdapat beberapa orang senior di dalam bilik berkenaan,” katanya.

Katanya, rakaman percakapan pengadu sudah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Pengadu juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan PDRM untuk menyiasat kes buli babit seorang pegawai kadet di UPNM.

Beliau menegaskan, budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.

Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini