KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan orang ramai untuk membantu mengesan seorang lelaki warga emas dikenali sebagai Hussin Othman yang dilaporkan hilang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan polis mengenai kehilangan tersebut diterima pada pukul 7.15 malam, hari yang sama.
“Lelaki berusia 65 tahun itu kali terakhir dilihat keluar dari Wad 24, Aras 5 di HKL pada pukul 6 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Menurut PDRM, lelaki itu mempunyai ketinggian 168 sentimeter, berambut putih, bercermin mata, dan bertongkat.
“Dia memakai baju kelabu berlogo mini love, seluar pendek kelabu, serta berselipar dan membawa bungkusan plastik berwarna merah dan putih,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-2600 2264 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.