Tumpuan :
Nasional

Polis mohon bantuan kesan Siti Nurfatin Syuhada

Polis mohon bantuan kesan Siti Nurfatin Syuhada, hilang dari rumah. – FOTO: IPD Melaka Tengah

MELAKA: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang didakwa lari dari rumah mengikut seorang rakannya dengan alasan mencari pekerjaan di Kuala Lumpur sejak 6 Januari.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ibu kepada wanita itu membuat laporan kehilangan anaknya, Siti Nurfatin Syuhada Shahrul Aizom, 22, pada jam 10.14 pagi, Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan laporan pengadu, yang ketika itu berada di tempat kerja di Tangga Batu, dihubungi seorang daripada anaknya memberitahu Siti Nurfatin Syuhada keluar dari rumah mereka di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam.

Katanya, pengadu kemudian menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp bagi bertanyakan keberadaan anak bongsunya itu.

“Anaknya membalas, hanya keluar sekejap dan mahu bersendirian, sebelum menghantar mesej lain menyatakan ingin berdikari selain mahu membuktikan dia mampu berdikari.

“Sehingga hari ini, pengadu cuba menghubungi anaknya tetapi tiada sebarang respon sebelum hadir ke balai polis pada 26 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Christopher berkata, gadis berkulit cerah dan berketinggian 160 sentimeter itu juga pernah memaklumkan kepada keluarganya mahu bekerja di Kuala Lumpur.

Katanya, pengadu mengesyaki anak perempuannya itu melarikan diri mengikut individu yang dikenali sebagai Farah.

“Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan wanita muda itu yang dilaporkan hilang sejak Ahad.

“Pakaian terakhir yang dipakainya adalah baju-T lengan panjang berwarna hitam dan berseluar palazzo biru tua, bertudung warna hitam dan berkasut sukan berwarna putih,” ujarnya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Hairul Anuar Mohd Jaini di talian 018 3868234 untuk membantu siasatan.

Loading...
Terkini