comscore
Tumpuan :
Nasional

Saksi kemalangan maut penunggang motosikal di Kuala Selangor, diminta tampil

Kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 25 Jalan Klang-Teluk Intan, malam kelmarin. FOTO Ihsan PDRM

KUALA SELANGOR: Polis meminta saksi kemalangan maut yang membabitkan seorang penunggang motosikal di daerah ini yang berlaku kelmarin, tampil membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa pihaknya menerima laporan kemalangan di Kilometer 25 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini membabitkan motosikal Honda Wave jam 9.30 malam.

“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa, Abdul Azim Jumari, 36, dari rumah ibunya di simpang masuk sebuah kedai makan menghala pulang ke rumahnya di Sungai Janggut.

“Tiba di lokasi, juruteknik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan jatuh di atas jalan,” katanya.

Ramli berkata, akibat kemalangan mangsa cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya penunggang motosikal itu juga disyaki tidak memakai topi keledar.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Norasyikin Roslan di talian 010-2621743.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini