Tumpuan :
Nasional

Polis minta orang ramai henti aktiviti kutip kerang di Pantai Sura

Orang ramai mengambil kesempatan mengutip kerang di Pantai Sura. Ribuan kerang yang terdampar di pantai menyebabkan pantai itu dikunjungi ratusan pengunjung yang mengambil peluang mengutip hidupan marin itu sejak pagi kelmarin. – Foto NSTP

DUNGUN: Polis meminta penduduk supaya menghentikan aktiviti mengutip kerang di sepanjang pesisir Pantai Sura, dekat sini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, berkata arahan yang dikeluarkan itu berikutan keadaan ombak besar dan angin kencang yang sedang melanda ketika ini.

Katanya, angin kencang berkelajuan kira-kira 60 kilometer per jam disertai ombak setinggi 4.4 meter meletakkan pesisir pantai di daerah ini dalam kategori berisiko tinggi.

“Perubahan cuaca yang tidak menentu juga boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai dan pihak polis mengeluarkan arahan ini berkuat kuasa serta-merta.

“Kita memandang serius aktiviti ini dan arahan memberhentikan aktiviti mengutip kerang bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Maizura berkata, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan berharap orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai.

“Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat individu yang tidak mengendahkan arahan yang dikeluarkan ini,” katanya.

Media melaporkan, orang ramai membanjiri Pantai Sura untuk mengutip kerang yang memenuhi pesisir pantai itu sejak petang kelmarin.

Penduduk dari luar daerah ini juga dilaporkan turut sama datang ke pantai terbabit selepas aktiviti mengutip kerang itu tular di media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
 
Loading...
Terkini