comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis masih tumpu, fokus siasatan kes Zayn Rayyan – Saifuddin

Zayn Rayyan Abdul Matiin. – FOTO arkib NSTP

NIBONG TEBAL: Polis masih memberi tumpuan dan fokus kepada siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution juga mengulangi, pihak polis sudah menerima aduan mengenai apa yang dikatakan sebagai kebocoran dokumen siasatan, selain berhubung kebimbangan keluarga Zayn Rayyan mengenai keselamatan mereka.

“Kalau itu yang berlaku, mereka harus segera membuat laporan supaya polis dapat menyegerakan siasatan. Pada masa sama, tumpuan atau fokus siasatan polis (kes pembunuhan Zayn Rayyan) masih lagi berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap, di sini hari ini.

Mengenai penyebaran maklumat didakwa mengandungi fakta siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan yang disebarkan melalui laman sosial dan aplikasi Telegram sejak Khamis lalu, Datuk Seri Saifuddin menjelaskan, perkara itu di bawah Kementerian Komunikasi.

“Tanya Fahmi,” jawabnya ringkas merujuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti beberapa laman media sosial menyebarkan maklumat yang didakwa perjalanan siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Bahagian Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataannya memaklumkan sudah mengemukakan permohonan kepada pengendali platform media sosial termasuk TikTok dan Telegram untuk penurunan kandungan terbabit.

Menurut kenyataan itu, penyebaran dakwaan maklumat siasatan kes berkenaan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu perbicaraan kes.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan, 6, ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring di anak sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediaman keluarganya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini