Tumpuan :
Nasional

Polis Marin rampas mercun bernilai lebih RM25,000

Polis Marin merampas mercun dianggarkan bernilai RM25,150 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mas, Kampung Koh, Sitiawan, semalam.- Foto: PDRM

MANJUNG: Pasukan Polis Marin menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenama mercun dianggarkan bernilai lebih RM25,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Mas, Kampung Koh, Sitiawan, di sini, malam semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan pihaknya ketika Op Musim Perayaan Tahun Baru Cina sekitar jam 11 malam hingga 2 pagi.

Menurutnya, hasil serbuan di rumah suspek, pihaknya menemui hampir 29 kotak mercun pelbagai jenis di dalam sebuah bilik dan hasil soal siasat mendapati suspek tidak mempunyai permit menyimpan dan menjual yang sah.

“Secara keseluruhan, kita berjaya merampas 655 bungkusan mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM25,150.

“Suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti penjualan mercun selama dua minggu lalu dan dipercayai menjadi pengedar kepada kedai runcit di kawasan berdekatan.

“Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957”, katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini