Tumpuan :
Nasional

Polis Marin rampas 81 bubu naga di Pantai Bagan Tengkorak

Anggota Pasukan Polis Marin bersama kakitangan Jabatan Perikanan Selangor merampas 81 bubu naga dalam Op Taring Gelora Khas Interagensi di Pantai Bagan Tengkorak. – FOTO: NSTP/Ihsan Jabatan Perikanan Selangor

TANJONG KARANG: Pasukan Polis Marin bersama Jabatan Perikanan Selangor merampas 81 bubu naga dalam Op Taring Gelora Khas Interagensi di Pantai Bagan Tengkorak, di sini, kelmarin.

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi diadakan selepas pihak berkuasa menerima aduan berhubung penggunaan peralatan itu di perairan negeri ini.

Selain itu katanya, media sosial juga membangkitkan isu berhubung aktiviti penangkapan ikan secara haram.

“Susulan itu, operasi mengesan aktiviti terbabit dilakukan sekitar jam 4.30 pagi sehingga 5.00 petang kelmarin.

“Sebuah sampan dipercayai sedang menjalankan aktiviti penggunaan bubu naga dan apabila bot peronda PPM cuba menghampiri, sampan terbabit terus memecut ke kawasan beting.

“Tekong dan kru meninggalkan sampan di kawasan itu serta melarikan diri di kawasan beting dan bakau berhampiran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Noraisyah berkata, antara hasil rampasan yang diperoleh adalah sampan, enjin dan 81 bubu naga yang berjumlah RM15,000.

Katanya, mana-mana pihak yang menggunakan bubu naga, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Loading...
Terkini