Oleh: Kadir Edison
LAWAS: Pasukan Polis Marin menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun selepas menyerbu sebuah kapal kargo yang berlabuh di dermaga Lawas, bersebelahan Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pada 12 Januari lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata dalam pemeriksaan itu, pasukan serbuan menemui 100 kotak mercun pelbagai jenama yang dipercayai diimport dari luar negara untuk dibawa masuk ke Sarawak.
“Ketika diminta mengemukakan dokumen berkaitan barangan terbabit, juragan kapal gagal menyerahkan sebarang dokumen sah yang dikeluarkan oleh pihak JKDM,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, juragan kapal terbabit ditahan, manakala semua mercun dirampas untuk siasatan lanjut.
Polis turut mengesyaki suspek melakukan kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 selepas gagal menunjukkan bukti pemilikan atau dokumen berkaitan penyimpanan bahan letupan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957, dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM21,526,500,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.