comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis klasifikasikan kes video titah Sultan Perak sebagai 3R

KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan siasatan terhadap seorang wanita berhubung klip video yang disunting daripada bahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai kes 3R (institusi diraja, kaum dan agama).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pegawai penyiasat selesai merekod keterangan wanita berusia 46 tahun itu petang semalam di Balai Polis Cyberjaya.

“Tiada tangkapan dilakukan terhadapnya setakat ini dan pihak polis selesai merekod keterangannya.

“Sama ada dia akan dipanggil semula, itu bergantung siasatan. Ini ialah kes 3R kerana mewujudkan sentimen institusi diraja,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.

Semalam, Razarudin mengesahkan terdapat 24 laporan polis mengenai kes terbabit dan siasatan bersabit penularan rakaman video Sultan Perak yang diolah seakan-akan menyokong sebuah parti politik.

Menerusi video itu, seseorang dipercayai wanita yang juga pemimpin Muslimat PAS Melaka, cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap PAS.

Pejabat Sultan Perak kelmarin, turut membuat laporan polis berhubung video yang ditularkan itu.

Dewan Negara Perak menerusi kenyataan ditandatangani Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, pihaknya percaya pihak yang memetik dan menularkan semula titah Sultan Nazrin pada tahun 2013 berkenaan dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Video berkenaan memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin pada 19 Februari 2013 di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan ‘Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran’.

Loading...
Terkini