KUALA LUMPUR: Lebih RM1.87 juta hasil bayaran saman berjaya dikutip daripada pesalah lalu lintas sempena tawaran diskaun 50 peratus ditawarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam tempoh dua hari sejak Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata dalam tempoh berkenaan, sebanyak 17,002 saman diselesaikan membabitkan keseluruhan kutipan RM1,878,620.
Katanya, sejumlah RM270,850 bayaran saman diselesaikan melalui bayaran tunai, e-bayaran (RM882,340), manakala bayaran menggunakan kupon 50 peratus mencatat kutipan RM725,430.
“Pada hari pertama (Selasa), sebanyak RM841,390 bayaran saman berjaya dikutip untuk bayaran 7,677 saman dan pada hari kedua semalam, jumlah kutipan saman meningkat kepada RM1.037 juta untuk bayaran 9,325 saman.
“Dianggarkan seramai 3,100 orang awam hadir ke kaunter saman yang disediakan di pejabat JSPT Kuala Lumpur dalam tempoh dua hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas melakukan lawatan ke pejabat JSPT Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik Tun H S Lee di sini, untuk melihat sendiri pelaksanaan Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman Sehingga 50 Peratus.
Yang turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.
Untuk rekod, Polis Kuala Lumpur menawarkan diskaun saman 50 peratus kepada pesalah trafik bermula Selasa lalu hingga Sabtu ini.
Tambah Mohd Yusri, bagi kemudahan orang, pihak JSPT Kuala Lumpur menyediakan enam khemah serta membuka 19 kaunter semakan, pinda dan bayaran saman termasuk menyediakan 14 mesin e-bayaran.
Selain itu, khemah turut menempatkan kaunter MyBayaran Saman, tiga kaunter untuk kemudahan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung serta 350 kerusi menunggu.
Mohd Yusri berkata, tawaran diskaun berkenaan tidak termasuk bagi kes saman kemalangan, saman bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun, memotong secara berbahaya, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan tidak mematuhi isyarat lampu merah.
Selain itu, kesalahan berkaitan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan memotong di garisan berkembar turut tidak termasuk dalam tawaran.
Kata beliau, menjelaskan saman tepat pada waktunya dapat menghindarkan orang ramai dikenakan denda tambahan atau dikenakan tindakan lebih tegas.
Dalam pada itu, katanya statistik Polis Kuala Lumpur menunjukkan sebanyak 881,211 saman didaftarkan sepanjang tahun ini dengan kesalahan halangan lalulintas merekod jumlah saman tertinggi dengan 97,806 saman, mengabai isyarat lalu lintas (45,803) dan tiada lesen memandu (17,405).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.