SHAH ALAM: Tiga suspek berputih mata apabila gagal mengambil apa-apa barang dalam satu kejadian pecah kereta di Banting, Kuala Langat, dekat sini pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, kira-kira jam 9.40 pagi, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku semasa pengadu sedang membeli barang di sebuah kedai perkakasan di Banting.
“Pengadu terdengar bunyi penggera keretanya dan ternampak pintu kereta terbuka, lalu membuat pemeriksaan namun tiada barangan yang hilang.
“Kemudian, pengadu membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu dan mendapati tiga lelaki mengumpil pintu kereta pengadu sehingga terbuka sebelum melarikan diri menggunakan dua kenderaan jenis Proton Wira,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Sufian berkata, pihaknya juga mengesan hantaran kes berkenaan di media sosial.
“Siasatan mendapati, pihak kedai terbabit yang membuat hantaran rakaman video dari CCTV itu di media sosial bertujuan agar penduduk di kawasan Banting lebih berwaspada,” katanya.
“Pihak polis masih giat mengesan semua suspek yang terbabit dalam kes itu. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat 03-31872222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.