comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis kesan penunggang motosikal buat aksi ‘wheelie’ langgar kereta

Tangkap layar memaparkan penunggang motosikal yang melakukan aksi ‘wheelie’ sambil membonceng seorang wanita di hadapan sebuah stesen minyak di Teluk Ketapang, Kuala Nerus semalam.

KUALA TERENGGANU: Polis sedang mengesan penunggang motosikal Honda EX5 yang melakukan aksi ‘wheelie’ sambil membonceng seorang wanita di hadapan sebuah stesen minyak di Teluk Ketapang, Kuala Nerus semalam.

Dalam kejadian jam 6.37 petang itu, penunggang dan pembonceng yang jatuh selepas membuat aksi berkenaan turut melanggar bahagian hadapan sebuah kereta Perodua Myvi yang berada di laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa yang juga pemandu Perodua Myvi pada jam 9.10 malam.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu wanita berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari arah Dataran Austin menghala ke Teluk Ketapang manakala motosikal Honda EX5 yang ditunggang seorang lelaki bersama pembonceng wanita datang dari arah Jalan Kem Askar menghala ke arah Teluk Ketapang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan itu membuat aksi ‘wheelie’ dan terjatuh sebelum melanggar kereta dipandu wanita itu.

“Bagaimanapun, penunggang dan pembonceng motosikal bertindak melarikan diri selepas kejadian itu manakala pemandu wanita terbabit membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kita sedang mengesan penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu dengan kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular video berdurasi 11 saat yang menunjukkan seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi ‘wheelie’ sambil membonceng seorang wanita terjatuh dan melanggar bahagian hadapan sebuah kereta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini