![](https://media.buletintv3.my/2023/12/BTV3-SLIDE-87.jpg)
BUTTERWORTH: Polis sedang mengesan pemandu kereta jenis Proton X50 yang terbakar di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) berhampiran susur Sungai Puyu, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, nahas yang berlaku pada jam 5 pagi itu, tidak membabitkan kemalangan jiwa, namun pemandunya tiada di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati, kenderaan itu terbakar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 12.2 Lebuhraya BORR dari arah Bagan Ajam.
“Hasil siasatan mendapati, kereta yang terlibat adalah Proton X50, namun nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti selepas kereta tersebut hangus sepenuhnya.
“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit telah hilang kawalan lalu melanggar kon penghadang dan pembahagi jalan menyebabkan kebakaran pada kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Asri berkata, kemalangan terbabit bagaimanapun tidak melibatkan mana-mana kenderaan lain.
“Kita masih mengesan pemandu yang terlibat. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” tambahnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu agar menyalurkannya kepada penolong penyiasat kes, Sarjan Mohd Nasir Abu Mansor di talian 017-5607032.