
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan individu dikehendaki, Megavan Selvarajoo, 42, bagi membantu siasatan berhubung kes serangan jenayah terhadap seorang pengawal keselamatan wanita di Bandar Puteri Puchong pada 25 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, lelaki berkenaan dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Sivanantha Madewan di talian 016-3797727,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan wanita dipukul dan diugut oleh seorang lelaki yang dikenalinya di sebuah pondok keselamatan di sebuah apartmen di Bandar Puteri Puchong.
Anbalagan berkata, pihaknya turut mengesan video kejadian berdurasi empat minit 29 saat yang tular di Facebook semalam.
Beliau memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan daripada mangsa berusia 32 tahun pada jam 1.30 tengah hari.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.