Tumpuan :
Nasional

Polis kesan individu terbabit video tular dakwa MPK lupus anjing liar cara kejam

KLUANG: Polis sedang mengesan individu terbabit dengan penularan video di media sosial yang mendakwa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) terlibat dalam melupuskan anjing liar dengan cara kejam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, dalam satu kenyataan berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pada 7 Februari 2025, sekitar jam 6.36 petang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan polis daripada penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berhubung video yang tular di media sosial.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya. Selain itu, kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Sebelum ini, seorang pemilik akaun di Facebook telah berkongsi video tular berdurasi dua minit dua belas saat, yang memperoleh hampir 40,000 tontonan dan lebih 1,000 perkongsian.

Dalam hantaran itu, pemilik akaun berkenaan mendakwa kejadian tidak berperikemanusiaan itu dilakukan oleh MPK dan mendesak pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk bertanggungjawab.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini