Tumpuan :
Nasional

Polis kesan 2 suspek kes tembak di Pantai Morib

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan di kawasan Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata setakat ini, pihaknya telah mengambil keterangan dua daripada empat mangsa yang masih dirawat di hospital.

“Kita masih mengesan dua warganegara Indonesia yang menghantar tiga mangsa ke Hospital Serdang pada hari kejadian.

“Selain itu kita juga telah merakam percakapan 14 pegawai serta anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan telah memproses kedua-dua bot, termasuk bot APMM dan sindiket berkenaan.

“Siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk sebarang keputusan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Hussein berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas bersama Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan.

Tambahnya, polis juga sedang mengesan individu lain yang dipercayai berada di dalam bot tersebut.

“Kita percaya selain daripada lima orang yang telah dikenal pasti, masih ada individu lain di dalam bot berdasarkan saiznya dan keterangan saksi.

“Kesemua individu yang ditahan, termasuk yang meninggal dunia, didapati tidak memiliki dokumen sah dan kita percaya mereka ini sedang dalam proses untuk keluar dari perairan negara melalui laluan yang tidak sah,” ujarnya.

Mengulas dakwaan Indonesia mengenai tindakan APMM yang disifatkan berlebihan, beliau menjelaskan agensi itu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas untuk melepaskan tembakan ketika keselamatan negara terancam.

“Pihak berkuasa, termasuk APMM dan Polis Marin, sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan.Oleh itu, insiden ini dapat dikesan dan kita berjaya menemui bot-bot yang digunakan untuk membawa masuk warga asing melalui laluan tidak sah. Kami akan terus mempertingkatkan usaha untuk membanteras kegiatan ini,” katanya.

Dalam kejadian tembakan 24 Januari lalu, Hussein memaklumkan kejadian tembakan di perairan di Kuala Langat itu menyebabkan seorang terbunuh dan empat yang lain cedera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini