
MUAR: Kurang 100 lokasi panas atau ‘hotspot’ dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua kawasan yang dikenal pasti adalah susulan usaha risikan pihak polis.
“Perkara itu melibatkan kempen dan sentimen emosi parti-parti yang akan bertanding.
“Penugasan berkenaan dilakukan adalah sebagai usaha meredakan ‘suhu’ apabila tempoh kempen bermula selepas penamaan calon pada 5 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah di Batalion 6 PGA Bakri, dekat sini, hari ini.
Menurut Acryl Sani, orang ramai yang terbabit dinasihatkan untuk berkempen secara berhemah dan tertib dengan mematuhi batas-batas peraturan ditetapkan.
“Saya percaya mereka yang terlibat dalam kempen sedia maklum perkara-perkara yang boleh mereka lakukan dan tidak boleh lakukan.
“Ianya bagi memastikan situasi ketenteraman dapat dipelihara dan mengambil pengajaran seperti kes-kes di luar negara apabila ketenteraman tidak terkawal akan merugikan rakyat bahkan menjadi tragedi buruk,” katanya.
Sementara itu, seramai 35 peserta termasuk seorang pegawai kanan berjaya menamatkan latihan bagi Siri 1/2021 yang berlangsung pada 30 Oktober hingga 20 Disember 2021.
Manakala, 50 peserta termasuk seorang pegawai kanan berjaya menamatkan siri 1/2022 yang diadakan bermula 11 September hingga 25 Oktober lalu.
Lebih 80,000 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan sepanjang tempoh PRU-15, bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengundi. – HARIAN METRO