KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti lelaki tempatan yang dipercayai bertindak menganiaya seekor kucing seperti yang tular dalam video di platform X pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas lelaki itu yang dikatakan melakukan penderaan menggunakan penyauk ikan selepas berang dengan haiwan tersebut yang kerap kali berak di hadapan rumahnya.
Beliau berkata seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun membuat laporan polis mendakwa terdengar bunyi bising di luar rumahnya pada kira-kira 10 pagi, Jumaat lepas.
“Dia mendapati jirannya yang berusia 60-an sedang mendera seekor kucing menggunakan sauk ikan dengan memasukkan haiwan itu ke dalam jaring besar lalu mengheretnya kira-kira 200 meter di tingkat bawah flat berkenaan.
“Wanita itu bersama suaminya mengekori lelaki tersebut bersama beberapa penduduk dan cuba menasihatkan suspek supaya melepaskan semula kucing yang berada di dalam jaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata hasil siasatan mendapati suspek tinggal bersama isterinya dan kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan yang merujuk kepada khianat ke atas binatang serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia.
“Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa juga perbuatan penganiayaan terhadap mana-mana haiwan,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.