KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular dimuat naik seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata negatif dan penghinaan terhadap agama Islam.
Ketua Polis Kuala Kumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan keterangan akan diambil dalam masa terdekat memandangkan individu berkenaan sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental di sebuah hospital.
“Hari ini terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi seminit empat saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Tan Chong Ren@Tan Speaker Corner melalui aplikasi Facebook.
“Rakaman video memapar seorang lelaki yang berada di dalam sebuah kenderaan mengeluarkan kata-kata negatif dan penghinaan terhadap agama Islam.
“Susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis memandang serius berhubung perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang.
“Kes masih di peringkat siasatan. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus menularkan video berkenaan kerana bimbang akan menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.