Tumpuan :
Nasional

Polis Kelantan perketat kawalan sempadan susulan tembakan di pusat beli-belah

Sungai Golok di sempadan memisahkan Malaysia dengan Thailand. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis memperketatkan kawalan di sempadan Kelantan-Thailand bagi mengelak suspek yang melepaskan tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Shah Alam, meloloskan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata beliau sudah mengeluarkan arahan itu kepada semua Ketua Polis Daerah terutama yang bersempadan dengan Thailand.

“Kita juga sudah menerima fotofit suspek dan kita memang mengambil langkah berjaga-jaga dengan memperketat kawalan di sempadan.

“Langkah diambil kerana dibimbangi suspek lari ke Kelantan sebelum lolos ke Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan seorang lelaki cedera ditembak suspek dalam kejadian tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Setia Alam, pada Sabtu lalu.

Siasatan awal mendapati, kejadian berkenaan berlaku sebelum pusat beli-belah terbabit ditutup.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata, polis mengenal pasti suspek kes itu sebagai lelaki tempatan yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.

Katanya, suspek juga berkulit cerah dan berusia lingkungan 30-an hasil risikan polis dan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini