Tumpuan :
Nasional

Polis Kelantan perketat kawalan sempadan ekoran Sungai Golok mula kering 

Ketua Polis negeri Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis Kelantan terus memperketatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sepanjang musim kemarau dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan susulan air Sungai Golok mulai kering sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kawalan keselamatan berkenaan menerusi rondaan akan terus dipergiatkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ujarnya tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyeberang sempadan secara haram susulan air cetek di sungai berkenaan.

FOTO: NSTP

Sebelum ini, media melaporkan paras air Sungai Golok mulai kering akibat kemarau melibatkan beberapa kawasan seperti Kampung Chabang Tiga Bagus dan Lubok Gong di Pasir Mas, di sini.

“Kalau hendak masuk ke kawasan sempadan mesti ada permit yang sah sama ada naik kereta atau motosikal,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Terdahulu, Pemangku Ketua Cawangan Khas Kelantan ACP Nor Azmi Che Musa menyerahkan jawatannya kepada SAC Ahmad Norisham Maarus yang dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Kelantan yang baharu.

Berikutan itu, Pemangku Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan Supt Mohamad Hamizi Abdullah menyerahkan jawatan itu kepada Timbalan Ketua JPJKK Kelantan yang dilantik sebagai Ketua JPJKK Kelantan yang baharu.

Kedua-dua pelantikan jawatan pegawai kanan polis berkenaan berkuat kuasa hari ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini