comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis kejar suspek 3KM sebelum diberkas di Cyberjaya

Akibat aksi kejar mengejar, berlaku kemalangan antara kereta peronda dengan kenderaan yang dipandu suspek.

SEPANG: Cubaan seorang lelaki cuba meloloskan diri daripada ditahan polis gagal apabila berjaya diberkas dalam satu aksi kejar mengejar di Cyberjaya malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam di Jalan Cyberjaya-Dengkil ketika sepasukan anggota menjalankan rondaan di lokasi terbabit.

Pemerhatian mendapati, terdapat sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan sebelum polis cuba menahan kenderan terbabit.

Bagaimanapun suspek bertindak memecut kenderaan dan dikejar oleh polis sejauh tiga kilometer.

“Anggota peronda seterusnya telah bertindak mengejar kenderaan tersebut sehingga ke Jalan Kita Impian, Cybersouth. Akibat daripada kejar mengejar, telah berlaku kemalangan dengan kenderaan yang dipandu suspek.

“Susulan itu, tangkapan ke atas satu suspek lelaki warga tempatan berumur 29 tahun telah dilakukan,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis Methaphatamine hasil dari ujian air kencing.

Kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini