JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket yang bukan sahaja membungkus semula dan mengedar dadah, tetapi turut menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen seperti kad pengenalan, lesen memandu dan nota wang tunai.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata kegiatan sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu terbongkar selepas polis membuat empat serbuan di sekitar bandar raya ini antara jam 1.15 tengah hari, 13 Januari hingga kira-kira 7.50 pagi, 14 Januari lalu.
Beliau berkata, serbuan itu dibuat terhadap dua premis iaitu kondominium dan rumah teres, selain dua kereta sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 33 tahun yang dipercayai ahli sindiket.
“Kondominium berpagar dengan pengawal keselamatan itu adalah ‘homestay’, manakala rumah teres itu disewa mereka. Kita turut memeriksa sebuah Honda City yang disewa suspek untuk kegunaan mereka, manakala sebuah Proton Waja adalah kereta curi yang dilaporkan hilang pada 2023 di Kajang, Selangor.
“Sindiket ini menjadikan premis dan kenderaan sebagai ‘stor’ menyimpan dadah dan untuk pembungkusan semula sebelum diedarkan ke pasaran sekitar daerah ini.
“Selain itu, kita menemui pelbagai dokumen palsu dan kita masih menunggu hasil siasatan dan semakan agensi terbabit bagi memastikan identiti yang tercatat dalam dokumen palsu yang ditemui,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Kumar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 21.811 kilogram disyaki serbuk ekstasi; 1.40 gram disyaki syabu dan 40.28 liter disyaki cecair semuanya dianggar bernilai lebih RM3.68 juta dan boleh digunakan oleh 206,973 penagih jika terlepas ke pasaran.
“Kita turut merampas 13 keping kad pengenalan dan lesen memandu disyaki palsu; 18 wang kertas not Ringgit Malaysia 20, 50 dan 100 disyaki wang palsu; 10 kad bank disyaki palsu, satu geran kenderaan disyaki palsu serta peralatan untuk mencetak kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai palsu.
“Selain itu, kita turut menyita wang tunai RM400, wang tunai asing Cambodia Riel berjumlah RM247.40 dan seutas jam tangan,” katanya.
Kumar berkata, semua suspek kini masih direman selama 12 hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 489B serta Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
“Hasil semakan rekod pula mendapati mereka mempunyai rekod lampau dalam kes dadah serta jenayah.
“Seorang daripada suspek pula mempunyai rekod dikehendaki untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah pada tahun lalu yang dilaporkan di Alor Gajah pd 2024,” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.