JOHOR BAHRU: Tiga laporan diterima polis Johor berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam oleh pemilik akaun Facebook, Cecelia Yap Song KL dan pelawak, Harith Iskander.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata tiga laporan berkenaan diterima di Balai Polis Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara (JBU) dan Kluang.
Beliau berkata, ia membabitkan hantaran berbaur penghinaan di akaun Facebook Harith serta Cecelia, tiga hari lalu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat melakukan perasaan agama seseorang.
“Selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Kumar berkata, polis Johor memandang serius serta memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen 3R membabitkan raja, agama dan kaum di platform media sosial kerana boleh membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian masyarakat.
“Tindakan tegas tanpa kompromi di bawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa akan diambil terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
“Setakat ini sebanyak tiga laporan polis diterima Polis Kontinjen Johor susulan aduan penghinaan terhadap agama Islam berkenaan,” katanya.
Hari ini, bekas ahli kumpulan lawak Shiro, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali Shahrol Shiro membuat laporan polis berhubung status di media sosial yang dimuat naik pelawak dan juga pelakon Harith Iskander.
Menerusi laporan polis yang dimuat naik di Facebooknya, Shahrol turut membuat laporan terhadap individu bernama Cecella Yap Song KL.
Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam, Shahrol menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan kerana status Harith dan komen Cecella itu masing-masing didakwa menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Sebelum itu pada Ahad, Shahrol meluahkan rasa kesal dengan hantaran Harith yang didakwa membuka ruang kepada pelbagai pihak mempersenda kesucian Islam.
“Sebagai pelawak tidak semua sudut pandang boleh dijadikan bahan lawak kita. Adakala kita patut lebih sensitif lebih lagi membabitkan agama kita.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.