comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis Johor akan terus giat jalankan operasi mabuk di seluruh negeri 

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Polis menahan 37 individu yang disyaki memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan dalam operasi di sini, semalam dan hari ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, mereka antara 40 yang ditahan dalam Operasi Mabuk yang dijalankan secara serentak di seluruh negeri ini.

“Seramai 37 individu warga tempatan, manakala tiga individu warga asing ditahan dengan 37 pesalah lelaki dan tiga pesalah wanita yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun.

“Seramai 37 individu ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi sama, seramai 1,204 individu dan 1,056 kenderaan diperiksa, manakala sebanyak 532 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

“Turut ditahan dua wanita warga Thailand, di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya,” katanya.

Kumar berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor akan terus giat menjalankan operasi mabuk di seluruh negeri ini secara ‘total enforcement’.

“Operasi Mabuk ini adalah antara fokus utama JSPT Johor dalam mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap ‘kaki mabuk’ yang masih tidak serik dan terus tegar melanggar peraturan dan undang-undang lalu lintas.

“Kita akan terus memburu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang masih berdegil dan cuba mencabar undang-undang sedia ada,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini