GUA MUSANG: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengubah penghadang jalan di laluan alternatif Jalan Gua Musang-Kuala Lipis kerana boleh mengelirukan pengguna lain terutama perantau yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tindakan itu juga boleh mambahayakan pengguna jalan terbabit selepas polis mengesan penghadang jalan dialihkan di hadapan Hentian Gua Musang.
“Tindakan individu mengalihkan penghadang jalan itu dipercayai kerana dia ingin memudahkan pergerakan dan memendekkan perjalanan berbanding laluan alternatif yang lebih jauh.”
Justeru, kami mengharapkan supaya orang ramai tidak mengalih lencongan yang dibuat pihak berkuasa demi keselamatan pengguna lain.
“Kita tidak perlu mementingkan diri sendiri untuk cepat sampai ke destinasi sehingga mengubah lencongan yang dibuat pihak berkuasa. Lencongan itu dibuat untuk keselesaan pada masa akan datang kerana memberi laluan kepada pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU),” katanya selepas membuat pemantauan lencongan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini.
Katanya, pemantauan sudah bermula sejak tiga hari lalu dan lima kes kemalangan direkodkan di laluan alternatif berkenaan.
Beliau menasihati pengguna terutama yang masih belum memulakan perjalanan agar menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Lebuhraya Timur Barat dan laluan Jalan Simpang Pulai – Lojing bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan.
Sementara itu, tinjauan mendapati kesesakan trafik berlaku di sepanjang laluan alternatif Gua Musang sejauh lebih enam kilometer.
Tinjauan jam 11 pagi menyaksikan aliran trafik sesak bermula di simpang hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang hingga ke simpang di hadapan Rawat dan Rehat (R&R) Tanah Putih, Gua Musang.
Seorang perantau dari Shah Alam, Selangor, Nur Amiza Omar, 33, memilih menunggang motosikal bersama suami untuk balik beraya kali ini, di kampung halamannya di Melor, Kota Bharu.
“Ini kali pertama saya dan suami pulang beraya dengan motosikal. Kami bertolak pada jam 1 pagi namun ada kerosakan motosikal menyebabkan kami terpaksa berhenti di beberapa tempat.
“Anak-anak dah pulang lebih awal ke kampung. Jadi, kami memilih motosikal untuk mengelak daripada kesesakan. Saya juga turut mendapatkan perkembangan terkini laluan menerusi laman sosial Facebook dan Tiktok,” katanya.
Bagi Nur Amila Abdullah 25 dari Cheras, perjalanannya ke Tanah Merah kali ini agak mencabar.
“Mula- mula memang nak lalu LPT tapi Waze salah tunjuk arah dan bawa masuk sini juga, tadi pun dah lalu jalan-jalan dalam. Jadi, tiada pilihan. Kami terpaksa melalui jalan ini juga,” katanya.