comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis diminta siasat pemimpin NGO, penganjur ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’

Setiausaha PKR Wilayah Persekutuan, Muhammad Fikri Abd Aziz (dua dari kanan) di perkarangan Balai Polis Presint 7, di sini selepas membuat laporan polis hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Polis diminta menyiasat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu penganjur ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ yang didakwa dianjurkan pada 29 Jun ini, termasuk pemimpin NGO terbabit.

Setiausaha PKR Wilayah Persekutuan, Muhammad Fikri Abd Aziz berkata, motif demontrasi itu adalah cubaan menghasut rakyat agar menjatuhkan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa fakta kukuh, selain cubaan mensabotaj dasar pemulihan ekonomi negara.

Justeru, beliau mahu pihak polis mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan demonstrasi tersebut diadakan.

“Demonstrasi ini akan memberi persepsi negatif ke atas pelaburan dari luar negara dan boleh memberi persepsi negatif tentang kestabilan politik negara.

“Penganjur demonstrasi ini juga mempertikaikan subsidi diesel bersasar dengan memberikan alasan subsidi kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya yang ditemui di perkarangan Balai Polis Presint 7, di sini selepas membuat laporan polis hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Cabang PKR Putrajaya itu berkata, tindakan penganjur demonstrasi berkenaan secara tidak langsung menggugat keamanan negara.

Jelasnya, ini kerana sebagai kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi, tindakan menukar kerajaan adalah melalui pilihan raya umum bukan menerusi demonstrasi.

“NGO ini seolah-olah mahu menjatuhkan kerajaan dengan menghasut rakyat dengan mencetuskan persepsi bahawa kerajaan boleh dijatuhkan dengan melawan PMX (Perdana Menteri ke-10),” katanya.

Ujarnya, beberapa kepimpinan PKR peringkat negeri juga akan membuat laporan polis terhadap isu sama.

Terdahulu, sebuah portal dalam talian menyiarkan poster dan artikel bahawa satu NGO dikenali ‘Demi Negara’ yang diketuai pempengaruh media yang menggelarkan dirinya ‘YB Viral’ akan menganjurkan demonstrasi bertajuk ‘Demo Rakyat Lawan Anwar (Round 1)’.

Demonstrasi tersebut dikatakan akan diadakan pada 29 Jun ini di tempat letak kereta di luar Kompleks Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri pada jam 4.30 petang sehingga 7.30 petang.

Dalam poster tersebut, peserta atau orang ramai yang tidak hadir demonstrasi turut diminta memakai baju berwarna hitam sebagai tanda solidariti.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya menurunkan poster dan artikel terbabit, Muhammad Fikri berkata, beliau akan berbuat demikian setelah menerima nasihat daripada pihak polis sekiranya perlu mengambil tindakan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini