comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis cari suspek tinggal bayi perempuan di luar rumah perlindungan


KUANTAN: Polis giat mengesan individu dipercayai meninggalkan bayi perempuan masih bertali pusat yang ditemukan dalam sebuah beg di tepi pagar sebuah rumah perlindungan kanak-kanak, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata setakat ini, tiada tangkapan dilakukan berhubung kes terbabit.

“Bagaimanapun, usaha mengesan suspek masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, bayi perempuan itu ditemukan oleh seorang pekerja rumah perlindungan yang terdengar bunyi tangisan bayi di tepi pagar pada jam 7.30 pagi semalam.

Katanya, ketika ditemukan, bayi berkenaan berada di dalam beg hitam tanpa pakaian dan hanya diletakkan baju di tepi bayi dan masih bertali pusat.

“Tiada kesan kecederaan lain pada badan bayi tetapi kulit bayi menjadi kebiruan akibat kesejukan.

“Bayi dipercayai ditinggalkan individu tidak dikenali pada 10 malam, Rabu lalu berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di rumah perlindungan itu.

“Ketika itu kelihatan sebuah kereta dan seorang individu disyaki lelaki berjalan dan meletakkan sesuatu di lokasi sebelum beredar menaiki kenderaan itu,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan turut dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Sampel darah bayi akan diambil untuk perbandingan DNA,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini