comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis cari pemain bola bawa senjata tajam dalam padang

Foto tular seorang pemain sebuah pasukan amatur kelihatan menggunakan objek tajam dalam pergaduhan.

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pemain bola sepak amatur yang tular mengacukan objek tajam dalam insiden perselisihan ketika perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun pada 2.21 pagi hari ini.

“Ketika kejadian mangsa menyatakan berlaku selisih faham antara pasukannya dan pasukan lawan (pasukan suspek).

“Mangsa mendapati pemain pasukan lawan membawa masuk senjata tajam ke dalam padang dan mengacukan senjata itu ke arah salah seorang rakan sepasukan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berhubung insiden itu.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berikutan proses pengecaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Usaha mengesan suspek sedang dilakukan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu media melaporkan tular seorang pemain dari sebuah pasukan amatur kelihatan menggunakan objek tajam menyerupai kerambit dalam pergaduhan dipercayai semasa satu perlawanan liga sosial.

Dalam hantaran tular berkenaan, difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah malam membabit seorang pemain yang memakai jersi bernombor 7 dari sebuah pasukan amatur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini