![](https://media.buletintv3.my/2023/07/CMS-ZAMIR-2023-07-10T090533.724.jpg)
BAYAN LEPAS: Polis sedang mencari dua suspek kerana disyaki menyerang dan memukul sehingga mati seekor anjing sehingga mati dalam kejadian di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, di sini, semalam.
Ia susulan video tular memaparkan dua suspek terbabit menyerang sesuatu dipercayai anjing, dalam semak pada waktu malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata terdahulu, pihaknya mengesan video berkenaan pada jam 6 petang semalam yang disiarkan dalam artikel di media sosial.
Katanya, video itu turut memaparkan keterangan ‘Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati.’
Menerusi video itu, dua lelaki dilihat sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.
Saksi kemudian membuat laporan polis bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Menurut Kamarul Rizal, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 8.38 malam, Sabtu lalu.
Katanya, saksi itu juga adalah individu yang merakam perbuatan dua lelaki itu menerusi telefon bimbit miliknya.
Saksi kemudian menghantar video itu kepada seorang rakan di Petaling Jaya, Selangor sebelum ia ditular rakannya menerusi akaun Twitter menggunakan nama @syhmiee.
Kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.