Tumpuan :
Dunia Seni

Polis cabut mikrofon ketika Ed Sheeran ‘busking’ di India

Tangkap layar video tular di X menunjukkan polis India menghentikan persembahan jalanan Ed Sheeran.

NEW DELHI: Persembahan jalanan bintang pop Britain, Ed Sheeran di Bengaluru, India, semalam dihentikan secara tiba-tiba oleh pihak polis kerana tiada kebenaran diberikan.

Sheeran, yang mengenakan kemeja-T putih dan seluar pendek, dilihat menyanyi dan bermain gitar di satu sudut bandar itu menjelang konsertnya di India.

Menerusi klip video yang tular, seorang pegawai polis menghampiri Sheeran ketika dia sedang menyanyikan lagu hit Shape of You sebelum mencabut mikrofon.

Sheeran kemudian meninggalkan lokasi berkenaan tidak lama selepas itu.

Pegawai polis Bengaluru, Shekar T. Tekkannanavar berkata, pihaknya tidak meluluskan permohonan untuk persembahan jalanan kerana ia diadakan di salah satu kawasan paling sibuk di bandar itu.

“Saya menolak untuk memberikan kebenaran kerana Church Street sangat sesak. Itulah sebabnya dia (Sheeran) diminta untuk meninggalkan tempat berkenaan,” katanya seperti dilaporkan agensi berita ANI.

Sheeran, yang memulakan kerjaya sebagai penghibur jalanan di United Kingdom (UK), memuat naik hantaran di Instagram memaklumkan dia sudah mendapat kebenaran untuk busking.

“Ia bukan sekadar kami muncul secara tiba-tiba. Semua baik-baik sahaja,” tulisnya.

Sheeran kini berada di India bagi siri konsert dan mengadakan persembahan di hadapan ribuan peminat di padang terbuka di Bengaluru pada malam yang sama, turut disertai penyanyi India, Shilpa Rao.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini